Tuesday 26 July 2016

Sejarah Arab Jahiliah : Sosial

Kedudukan wanita pada zaman ini adalah sangat rendah. Hal ini demikian kerana mereka tidak dapat mewarisi harta keluarga bahkan ada juga anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana bagi mereka ia akan mendapat malu besar. Selain itu, perempuan juga dijadikan tempat untuk melepaskan nafsu di mana orang lelaki boleh berkahwin tanpa had bahkan boleh diceraikan secara sesuka hati. Mengenai kehidupan berkeluarga, terdapat empat cara perkahwinan yang biasa diamalkan oleh mereka. Pertama, perkahwinan secara biasa di mana pihak wali menerima pinangan seseorang yang tertentu. Kedua, disebut kahwin mencari anak pintar iaitu si suami membenarkan isterinya digauli oleh lelaki lain yang dianggap pintar agar anaknya boleh menjadi demikian. Ketiga, beberapa orang berpakat menyetubuhi seorang wanita kemudian wanita itu akan menentukan sendiri siapa bapa anaknya. Keempat, Seorang wanita membenarkan dirinya disetubuhi oleh beberapa orang lelaki kemudian lelaki ini bermesyuarat sesama mereka tentang siapa yang akan menjadi suaminya.

Moral masyarakat Arab Jahiliah terdapat sifat positif iaitu memuliakan tetamu dan dikatakan mereka sanggup mengorbankan kepentingan mereka untuk tetamu, golongan miskin atau lemah. Misalnya apabila tengah malam, mereka akan memasang api di tempat-tempat tinggi untuk menolong pengembara yang sesat dan apabila seseorang itu meminta bantuan sesuatu kaum adalah tanggungjawab kaum tersebut untuk melindunginya. Selain itu, terdapat juga sikap pemurah, berani, setia, ramah, sederhana dan cinta akan keamanan. Namun begitu, sikap baik mereka tenggelam dengan amalan buruk iaitu berzina, minum arak terutamanya lelaki sekiranya dia minum sehingga mabuk maka dikira matang dan berjudi. Tekanan suasana telah membentuk sifat ghazw dan hamasah dalam kalangan masyarakat Badwi. Konsep ini telah merangkum dalam dasar falsafah hidup mereka: Bantulah saudaramu baik dia yang menzalimi ataupun dizalimi.

Agama pula secara majoritinya menyembah berhala sehinggakan terdapat 360 patung berhala di keliling kaabah dan antara berhala paling popular adalah Al-Latta dan Al-Uzza. Sebab-sebab mereka menyembah berhala ialah penghormatan yang berlebihan terhadap kaabah, terlalu sedih dan mengukir wajah mereka yang merupakan orang mulia serta patung yang menjadi teladan secara tiba-tibanya disembah. Terdapat juga sebahagian kecil yang berpegang pada keaslian agama Hanif iaitu ajaran Nabi Ibrahim a.s terutamanya Waraqah bin Naufal, Umaiyah bin Abi Salt, Abdullah bin Abdul Mutalib, Aminah binti Wahab dan lain-lain. Hal ini kerana agama Hanif yang dipegang oleh orang lain telah bercampur dengan adat jahiliah seperti melakukan haji dan korban disertakan juga unsur-unsur berhala. Terdapat juga penganut Yahudi, Nasrani dan Majusi. Ada juga masyarakat Arab yang menyembah matahari, malaikat, bulan dan bintang bahkan ada yang berkepercayaan animisme.

Kepercayaan pula mereka percaya kepada dewa dan dewi, hantu, roh jahat, azimat,tuah dan lain-lain yang di mana dapat memberikan kekuatan dan pendinding daripada kejahatan. Meraka juga mempercayai tukang tilik yang menentukan nasib dan mengamalkan sihir. Bukan itu sahaja, mereka mengamalkan thiyarah di mana apabila burung itu terbang ke arah kanan akan membawa petanda yang baik manakala sebaliknya ia membawa malang. Mereka mempercayai ada roh dalam ular yang dikenali sebagai Hammah maka orang Arab dilarang membunuh ular. Mereka juga mempercayai bahawa ada hantu yang bernama Ghaul iaitu hantu lelaki dan Aimir iaitu hantu perempuan yang berkeliaran di padang pasir yang mengganggu perjalanan musafir. Akhir sekali, sewaktu musim kemarau diikatkan rumput-rumput pada seekor kambing lalu dibakarnya dengan harapan bahawa hujan akan turun.

                                                                     Patung Berhala

0 comments:

Post a Comment