Tuesday 26 July 2016

Sejarah Arab Jahiliah - Ilmu Pengetahuan

Dari sudut ilmu pengetahuan masyarakat Arab, mereka memiliki kelebihan dalam menghafal salasilah nenek moyang dan mereka pula membahagikan nasab kepada enam tingkat iaitu Sya’ab, Kabilah, Imarah, Batha, Fakhidz dan Fusailah. Maka apabila kita membuat kaedah ini kepada keturunan Nabi Muhammad S.A.W, maka Sya’ab ialah Adnan, Kabilah ialah Rabiah dan Mudhar, Imarah ialah Quraisy dan Kinanah, Batha ialah bani Abdul Manaf dan Abdul Dar, Fakhidz ialah Bani Hasyim dan Fusailah ialah bani Abdul Mutalib. Tidak hairanlah sekiranya kita meneliti sirah Nabi Muhammad S.A.W dari segi keturunannya bersambung nasab kepada pemimpin Quraisy yang sangat berpengaruh iaitu Qusai bin Kilab dan seterusnya kepada Ismail bin Ibrahim a.s bahkan baginda lahir daripada susur galur nasab yang terpelihara daripada kekotoran syirik.

Selain itu, masyarakat Arab biasanya memberikan nama anak dalam pelbagai bentuk seperti berbentuk kemenangan(Ghalib), keuntungan(Sa’ad), berbentuk keras(Hajar) dan nama binatang (Kalbi). Terdapat persitiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W menukarkan nama seorang wanita yang memeluk Islam dan menjadi isterinya iaitu Barrah kepada Juwairiyah kerana mendapat nama itu tidak elok. Selain itu, mereka juga menghafal cerita dongeng yang melambangkan kesukuan mereka dan tidak lupa juga menceritakan hal ehwal percintaan seperti yang dinyatakan dalam bab sastera tadi.

Selepas itu, mereka juga mahir dalam ilmu bintang dengan cara mengetahui musim kurma berbuah atau untuk berangkat ke Syam dan Taif. Setiap bintang ada 12 tompok dan setiap tompok ada buruj. Masyarakat zaman ini menggelarkannya sebagai bintang zodiak. Bintang mempunyai dua bahagian iaitu bintang utara sebanyak enam bintang yang bernama mizan(8) iaitu libra, aqrab(21) iaitu scorpion, qus(31) iaitu sagittarius, juddi(28) iaitu capricorn, dalwu(42) iaitu aquarius dan hut(34) iaitu pisces serta bintang selatan sebanyak enam bintang iaitu hamal(13) ialah aries, sir(32) iaitu taurus, jauza’(18) iaitu gemini, sarathan(9) iaitu cancer, asad(27) iaitu leo dan sunbulah(23) iaitu virgo.  Mereka juga mempunyai kemahiran berkuda dan memanah dengan cara memerhatikan bentuk badan dan belangnya.


0 comments:

Post a Comment