Tuesday 26 July 2016

Sejarah Arab Jahiliah - Ekonomi

Keadaan tanah Arab gersang dan tandus serta terdiri daripada padang pasir dan batu batan menyebabkan air sukar diperolehi di beberapa tempat. Sumber pendapatan dan pencarian ialah menternak binatang serta berdagang. Pada musim dingin, suhu utara iaitu Syam menjadi sejuk dan mereka menumpukan perdagangan di selatan(Yaman) kerana suhu lebih panas. Kota Makkah terletak di lokasi yang strategik bagi laluan berdagang dan dibina pula pelabuhan bagi mengurus lalu lintas perdagangan. Orang Arab telah membuka jalur perdagangan dengan India, China, Afrika, dan sebahagian Eropah sekarang dikenali sebagai Rusia, Sweden dan Denmark.

Masyarakat Arab Jahiliah telah mengamalkan perniagaan berasaskan riba’ dan penindasan. Hal ini menyebabkan wujudnya jurang antara golongan kaya dengan miskin. Sekiranya mereka gagal melunaskan hutang maka mereka dieksploitasi menjadi hamba. Bukan itu sahaja, terdapat juga mata pencarian orang Arab ketika itu iaitu mengukir patung berhala untuk dijualkan kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, mereka yang terdesak kehidupannya maka mereka akan melakukan rampasan dan rompakan. Mereka menyerang suku-suku yang dimusuhinya serta merampas ternakan, wanita dan kanak-kanak.

Adapun bagi golongan badwi, mereka hanya bersandar kepada hasil ternakannya seperti unta, kambing, kuda atau biri-biri. Mereka memakan daging haiwan itu, mereka meminum susunya serta membuat pakaian juga khemah-khemah daripada kulitnya Apabila sangat terdesak, ditangkapnya binatang-binatang seperti biawak dan tupai. Nampaknya orang-orang badwi juga mengenali sistem tukar menukar iaitu dengan cara menukarkan ternak atau hasil-hasil ternaknya dengan barang-barang keperluan mereka seperti pakaian atau kurma.


1 comment:

  1. Betul atau tidak masyarakat Badwi menyusahkan mangkuk tembaga,baju besi, barangan perhiasan dan Perak?

    ReplyDelete