Wednesday 20 July 2016

Rujukan Sejarah Islam

Bismillah walhamdulillah.. Di sini saya mahu berkongsi tentang sumber rujukan yang paling terbaik untuk pembelajaran sejarah. Maka seseorang yang mahu mengkaji sejarah itu mestilah mempunyai sikap ingin tahu dan sanggup berkorban masa untuk membuat rujukan secara ilmiah. Maka inilah liku-liku yang perlu ditempuhi oleh mereka yang arif dalam bidang ini. Baik saya tidak mahu bercerita panjang di sini.

Sumber rujukan sejarah yang penting adalah:

1) Al-Quran - kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibrail dalam bahasa Arab secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah. Ingatlah bahawa Allah S.W.T menurunkan Al-Quran kepada nabi bukan sekadar sebagai mukjizat bahkan ia adalah mesej yang sangat penting untuk disampaikan kepada semua umat manusia. Tidakkah kita terfikir bahawa banyak sejarah yang diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran terutamanya kisah kaum yang dimusnahkan oleh Allah disebabkan kekufuran mereka terhadap nikmat Allah S.W.T? Bukan itu sahaja banyak juga bercerita tentang orang-orang yang sanggup mempertahankan akidah seperti Asiah isteri Firaun dan Ashabul Ukhdud itu! Allah S.W.T turunkan kitab ini adalah menyeru agar kita bertadabbur dan berfikir tentang kekuasaan Allah yang maha besar. Kaum yang membina tamadun yang begitu hebat pun boleh dimusnahkan oleh Allah S.W.T begitu sahaja. Sebab apa? sebab kekufuran mereka.

2) Al-Hadith / Al-Sunnah - perbuatan, percakapan, taqrir dan sifat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Tidak dinafikan bahawa hadith ada bercerita tentang sejarah yang khusus melalui baginda sendiri. Hadith banyak berkisar tentang sejarah baginda secara khusus dan umum maka tidak hairanlah banyak kitab yang dikarang berkaitan dengan baginda melalui hadith iaitu Riyadhus Solihin, Al-Syifa' bi ta'rif huquqil mustofa dan lain-lain lagi. Bahkan hadith baginda juga ada sebut tentang kelebihan para sahabat yang boleh disertakan dengan fakta sejarah yang kita baca.

3) Kitab-kitab Turath - kitab yang dikarang berkurun lamanya sejak zaman bani Umaiyah lagi. Ada kitab yang banyak bercerita tentang sejarah dan peradaban Islam seperti Bidayah wa Nihayah, Rahiqul Maktum dan lain-lain lagi. Kitab sejarah ini sangat bernilai kerana ia berusia sangat panjang dan boleh lah kita ambil keberkatan daripada ulama' yang mengarang kitab ini dengan membaca dan mengambil iktibar daripada kesungguhannya. Kitab-kitab ini selamat daripada penyelewengan kerana ia bersifat asli dan primer. Kita khuatir kitab dari sumber sekunder banyak tercampur antara benar dengan salah.

4) Kitab-Kitab Kontemporari - tidak salah mengambil rujukan ini. Kita mesti memilih penulis yang tsiqah iaitu yang boleh dipercayai dan tidak mempunyai pegangan akidah yang menyesatkan serta unsur-unsur yang boleh mengelirukan umat Islam.

Maka itu sekadar perkongsian yang boleh saya kemukakan, segala kekurangan harap dimaafi.

                                                            Kitab Al-Quranul Karim

                                                           Hadith Rasulullah S.A.W

                                          Kitab Turath yang dikarang oleh ulama terdahulu

0 comments:

Post a Comment